Wednesday, 16 January 2013

JOURNAL: INDUSTRI SUKAN DI MALAYSIA


Pada asasnya, industri sukan adalah
gabungan kumpulan perniagaan
yang bukan sahaja menghasilkan
produk berkaitan sukan bahkan turut
melibatkan pelbagai komponen termasuk
perkhidmatan, perubatan, sains sukan,
pelancongan dan lain-lain yang berteraskan
atlet, masyarakat dan aktiviti sukan itu
sendiri di mana sasaran yang utama adalah
untuk menjana keuntungan (Aminuddin
Yusof & Parilah Mohd Shah, 2008). Oleh
itu, untuk mencapai matlamat industri
sukan, kerjasama daripada pelbagai sektor
diperlukan seperti sektor media, sektor
perniagaan dan sektor politik.
Industri sukan wujud apabila
adanya penganjuran yang berprestij,
yang mana mampu menjana
pendapatan sesebuah negara.
Sebagai contoh penganjuran sukan di luar
negara seperti Piala Dunia di Afrika Selatan
(2010) dan Brazil (2014); Sukan Asia ke-16
di Guangzhou, China (2010); the 7th Asian
Winter Games di Almaty, Kazakhstan; Euro
2012 Football Championships di Poland
dan Ukraine; dan 2014 Winter Olympics di
Sochi, Russia. Di Malaysia negara kita turut
mampu menganjurkan pelbagai temasya
sukan di peringkat antarabangsa, seperti
Sukan Komanwel XVI 1998;  Perlumbaan
Formula Satu Petronas Malaysian GP;
Perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia;
Monsoon Cup; Le Tour de Langkawi dan
Formula Future.
“Di Amerika Syarikat (AS), industri sukan
merupakan antara industri yang terbesar
dan yang paling cepat membangun. Dalam
satu kajian yang telah dijalankan oleh
Sports Business Journal melaporkan nilai
industri sukan di Amerika Syarikat pada
tahun 2008 bernilai USD 213 billion iaitu
lebih dua kali ganda daripada industri
kenderaan dan tujuh kali lebih besar
daripada industri perfileman”. (Dato’ Ahmad
Shabery Cheek, KISMAS 2009). Walaupun di
Malaysia terdapat pelbagai acara sukan yang
telah dianjurkan dalam pelbagai peringkat
termasuklah di peringkat antarabangsa
seperti yang telah disenaraikan di atas,
namun sehingga kini kita tidak mempunyai
sebarang data mengenainya secara khusus
dan mengakibatkan kesukaran dalam
menentukan nilai industri sukan yang
sebenar di Malaysia. Penganjuran sukan
berprestij seperti ini mampu merangsang
pertumbuhan ekonomi dan menyumbang
kepada keluaran kasar dalam negara
(KDNK) serta mampu menjana pulangan
dan meningkatkan Gross National Income
(GNI) per kapita daripada USD7,000
kepada USD15,000 menjelang tahun 2020
(Kementerian Belia Sukan, 2010).
Berdasarkan kajian yang telah
dilakukan oleh Aminuddin Yusof dan
Parilah Mohd Shah (2008), mereka
menyatakan bahawa industri sukan di
Malaysia mempunyai beberapa ciri-ciri
yang berbeza daripada negara lain. Ciri-ciri
tersebut adalah seperti industri sukan di
Malaysia masih baru dan kurang diketahui
umum iaitu selepas 10 tahun barulah sukan
dipertimbangkan sebagai sebuah industri.
Manakala untuk perniagaan pelbagai
produk atau perkhidmatan sukan hanyalah
terdiri daripada  saiz perniagaan yang kecil
dan sederhana seperti contoh perkilangan
produk sukan, sukan pelancongan, media,
dan pembinaan fasiliti sukan.
Seterusnya majoriti syarikatsyarikat di Malaysia hanya terlibat
dengan penjualan barangan atau
produk sukan, tetapi mereka tidak
menjadi sebahagian daripada
industri sukan yang umum.
Kebanyakan syarikat lebih menjurus ke
arah perkilangan produk sukan, pembinaan
atau pelancongan.
Ancaman terbesar kepada industri
sukan di Malaysia adalah saingan daripada
produk jenama luar negara (antarabangsa).
Syarikat tempatan  sering mengalami risiko
dalam mengawal pasaran domestik dan
pada masa yang sama turut menghadapi
masalah dalam memahami pasaran luar
negara. Syarikat kecil  mengalami masalah
dalam menjalankan inovasi, penyelidikan
dan pembangunan produk sukan kerana
mereka tidak mempunyai pendapatan
yang cukup untuk mengaji para pakar
untuk melakukannya. Masalah-masalah
lain adalah kekurangan peluang untuk
mendapatkan rangkaian hubungan
dalam perniagaan, terlibat dalam pasaran
asing dan mendapatkan kelebihan dalam
hubungan dengan projek sukan mega,
para atlit dan agensi sukan kerajaan.
Oleh yang demikian, pelbagai
inisiatif telah dijalankan oleh
Kementerian Belia dan Sukan
demi meningkatkan pertumbuhan
industri sukan serta meningkatkan
profesionalisme pengurusan
industri sukan di Malaysia.
Sebagai contoh menganjurkan
Konvensyen Industri Sukan (KISMAS),
Ekspo Perdagangan Industri Sukan
(SITE), Malaysia Sport Trade and Golf
Expo (MSTGE), Persidangan Meja Bulat
Industri Sukan dan pembinaan Makmal
Industri Sukan. Di samping itu, peranan
swasta juga penting dalam bersama-sama
membangunkan industri sukan negara.
Syarikat pengeluar mahupun pembekal
produk atau perkhidmatan sukan di
Malaysia harus menjalinkan hubungan
lebih erat dengan pengeluar/pembekal
produk atau perkhidmatan sukan dari
luar negara bagi memperkembangkan
dan meningkatkan mutu produk Malaysia
ke luar negara. Dengan adanya kerjasama
daripada pelbagai pihak, ianya boleh
membantu menggalakkan perkembangan
sukan dan membuka minda masyarakat
bahawa sukan adalah satu industri yang
besar impaknya dalam meningkatkan
pendapatan negara.
INDUSTRI SUKAN DI MALAYSIA
Oleh: Dymphna J. Lingkayan

No comments:

Post a Comment